Cerita Empat Kerana Jajan Dan Buah Pinggang

 




Kerana Jajan Dan Jalani Rawatan Sebagai Pesakit Buah Pinggang Selama Seminggu..

Ada sebuah kata-kata yang mampu membuat kita bangkit semula,selepas hujan akan hadirnya pelangi.

Tak lari juga aku , saat aku dibuai perasaan patah semangat , aku ingat tangan yang pernah memberi dan suara yang membangun.

"Syamiera .. awak bukan kurang , awak lebih dari orang lain.."suara Doktor pelatih wanita itu memecah ruang kegelisahan hati aku.

Bissmillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah ini adalah sambungan dari cerita tiga perjalanan kehidupan syamieraa

--------------------------------------

Aku makan jajan pada seumur lima tahun itu bukanlah sekadar sikit-sikit atau asal merasa, tetapi aku makan jajan sehari hampir berkali-kali.

Dan yang pastinya kanak-kanak itu mana mahunya minum air putih kerap walaupun diingatkan berulang kali. Aku Hanya angkat muka sahaja.

Setelah mama melihat perubahan ketara dari fizikal aku, wajah yang membulat tiba-tiba itu mama terus bergegas membawa aku ke klinik swasta. 

Doktor memaklumkan bahawa air kencing aku terdapat kekotoran dan keputusan hari itu juga doktor meminta mama membawa aku ke hospital kerajaan.

Sesampainya di sana, setelah mendapat keputusan akhir , doktor meminta mama untuk aku dimasukkan ke wad kanak-kanak atas kerana air kencing aku bukan sekadar kotor tetapi mempunyai tompokkan darah.

Nasi masak, periuk pecah , tiada lagi mampu melawan keputusan akhir itu . Dihari itulah bermulanya kehidupan aku di rumah kedua itu sebagai seorang pesakit buang pinggang. Di tahun itu , binaan wad adalah berdasarkan papan kayu , dan sedikit tembok dinding simen dan lantai bawahnya. Sungguh itu menyeramkan ya. Sesampai di wad itu , mata sembab aku memerhati kelilingnya ,tepi jalan lorong ke wad itu ada satu taman permainan. 

"mama , mama ada buaian!" pantas jari aku menunjuk ke arah taman permainan itu.

Nurse terus jalan di hadapan  menunjukkan katil untuk aku berehat disepanjang rawatan . Hari tersebut aku dapat wad yang aras bawah dan sungguh tak jauh sudah dari taman permainan itu. Usai sampai di katil pesakit, aku didudukkan di atas katil tersebut. Mata dan kepala aku memerhati disekeliling depan dan tepi aku. Walau jiran sebelah menegur aku, aku duduk dan senyum sahaja dari katil itu. Nurse mula memberi baju hijau wad. Dan aku dah tak boleh lari kemana selepas itu. Redha sahajalah nampaknya.

Sehari yang hampir petang itu, Hadirnya paklong bersama papa datang melawat. Aku melihat di luar bilik wad,dan aku melambai-lambai Paklong dari situ.
Paklong manusia yang tegas tetapi aku akui dia sangat penyayang, tak lari seperti seorang ayah. 

"paklong paklong ..cepat sini, paklonggg..yeyehh paklong sampai" suara jeritan kecil aku kedengaran  sambil ketawa gembira.

Paklong terus masuk dan menghampiri katil aku, paklong menyerahkan beg kecil serta pakaian di dalam beg itu. Mungkin pakaian mama dan keperluan lainnya buat anak saudaranya ini. Aku berlari-lari disekeliling katil itu dengan hati gembira. Mana tidaknya , rasa gelisah kian hilang bila nampak wajah keluarga disitu.

Petang mulai senja , tiba waktunya paklong dan papa pulang, aku melihat paklong yang sedang duduk di katil itu, mulai membangun dari duduknya. Lantas aku naik ke katil , berhadapan mama dan paklong .

"paklong nak pergi manaa?.." suara sayu aku.

"paklong nak balik lah.." jawab mama.. 

"mia nak ikuttt .. paklong nak ikut.. paklong .. paklong !" aku menangis sedu, aku nampak lelaki tegas itu melambai-lambai mahu pulang sehingga hilang sosok tubuhnya dari pandangan.

Fajar menyinsing, bermula hari pertama. Aku perlu diambil darah setiap pagi sepanjang di wad itu. Dari ambil darah hanya di katil , pekikkan tangisan aku terlalu berat. Dan doktor mengasingkan ruang untuk ambil darah aku di hujung luar bilik wad. Tetap juga suara jeritan aku ketika dicucuk jarum, memecah satu wad. 

Dan setiap kali untuk rawatan cuci air kencing aku akan diberikan suntikan antibiotik , di setiap kali nurse masukkan melalui jarum di tangan, aku yang mulanya diam dan menjawab setiap pertanyaan nurse itu, setelah aku sedar ubat telah dimasukkan dalam diam. Lalu aku menangis sedih. Mama tetap disisi aku dan faham kedaaan anaknya ini sambil memeluk pujuk.

"Dah siap , tak sakit pun kan .." pujuk mama.

Dihari kedua , mungkin anak kecil ini terlalu bosan tiada kawan sepermainan. Waktu mama keluar atau ke tandas hilang shj dari pandangan aku. Itu adalah peluang Emas keseronakkan aku, aku berlari senyap keluar ke taman permainan dengan berpakaian baju hijau itu. Dan di taman itu kosong tanpa sesiapa, aku berlari , aku bermain buaian dan gelungsur sehingga lupa  jarum melekat yang ada di tangan. Dan apabila nurse datang untuk memberi ubat lantas mama dan nurse melihat ketiadaan aku. 

Puas mama berkata , "nurse dan mama mencari di sekeliling dalam wad itu, kamu tiada.." Setelah jengah di luar rupanya anak kecil perempuan ini berada di ruang taman permainan itu sendirian. Setelah dipanggil masuk , nurse memesan supaya aku tidak keluar lagi bermain sendiri tanpa mama. Aku hanya mengagngguk iyakan shj pesanan itu.

Disetiap pagi doktor masih cucuk ambil darah untuk ujiannya, aku tetap dalam jeritan tangis lagi dan lagi. Mamalah yang menjadi mangsa, kaki aku tersepak tubuhnya , tangan aku tertarik bajunya, akibat aku meronta-ronta sakit.Tiba hari ketiga, saat mama ke tandas , aku yang bagai beruk kena belacan, menapak perlahan dan berlari lalu sunyi terus dari pandangan manusia lain di dalam wad itu. 

Kemana lagi kalau bukan ke taman permainan itu. Barangkali tubuh anak ini kecil sehingga nurse disitu tidak berjaya membaca gerak-geri aku.

Seperti biasa , waktu nak masukkan ubat antibiotik aku hilang lagi dan mereka mencari-cari. Mama yang faham bagaimana anaknya , dan mamalah yang memberitahu nurse aku di taman permainan itu. 

Disebabkan kedegilan aku , nurse berpakat dengan mama , aku dipindahkan ke wad lain di aras atas. Adakah perjalanannya disitu semakin membosankan ? 😄

Tiba di bilik baru , aku tahu aku tidak boleh turun lagi ke aras bawah untuk bermain di taman itu sebab aku perlu menuruni banyak anak tangga. 

Dan disitu aku ada kawan baru disebalah katilku . Dia bermain bersama aku , berlari-lari anak disekeling katil kami. 

Namun suatu hari itu , dia mendahului pulang dan aku tiada kawan lagi yang boleh bermain di wad sunyi itu.

Disitu makanan dihantar bagai puteri , nurse pun ramah mengajak berbual sambil beri ubat. 

Disepanjang berumah di wad atas itu, apabila waktu nurse mula menapak satu ke satu katil untuk memberi ubat , aku nampak dari jauh , aku buka langkah terus turun dan menyelinap masuk ke bawah katil pesakit lain. Aku duduk dan diam menyorok di situ sambil mengigit hujung baju.

Hanya kaki nurse shj aku nampak dari bawah itu, berjalan dari katil ke katil lain.

Tiba di katil aku 'pesakit kecil itu hilang lagi'. Mama dan nurse mencari-cari aku, sikit pun mereka tak nampak tubuh anak kecil ini dimana. 

"adik , adik , syamieraaa..!" suara mama dan nurse memanggil bergilir-gilir.

Aku tahu aku sedang takut waktu itu. Dan itu sahaja tempat selamat untuk aku menyorok.

Mama mendapat akal, menunduk dan mencari di bawah katil . Ya aku disitu..
Mama memanggil dan aku bagaikan itik pulang petang, berjalan lambat pergi ke arah katil yang ditunggu mereka. Sambil nurse ajak berbual sambil itu tangan nya perlahan cucuk ubat antibiotik . Siapa lagi menangis bagai harimau dikoyak itu jika bukan syamiera ini?

Hari berganti hari, bulan dan matahari menggantikan waktu malam ke siang, di dalam wad yang sungguh menyeramkan itu , mama setia menemani. Mama membuat aku ketawa kecil , mama temani aku tidur , setiap petang membawa turun ke taman permainan bawah itu. Mama cuti dari berniaga asbab menjaga aku sepenuhnya disana. Mama juga memahami perangai anaknya ini, saat aku sudah tahu tidak boleh menyorok di bawah katil lagi, aku mencari jalan menyorok di tepi beg besar pakaian mama. Saat nurse sampai , nurse mencari dan naluri mama tahu anaknya itu sedang menyorok , di tepi beg itu.

Begitulah sehari-hari kehidupan di rumah kedua itu selama seminggu namun rasanya seperti sebulan ya. 

Alhamdulillah muka aku yang sembab mulai susut , dan Allah telah izin menemukan penawar dari rawatan tersebut.  Aku diberi keluar dari wad itu , namun masih ada rawatan susulan ..
Setiap kali pergi rawatan susulan itu aku lah yang paling gembira , kerana hospital terletak di bandar . Pada aku itulah waktu dapat berjalan jauh keluar bersama mama dan papa .. 

-------------------------------

"Jangan pernah menyerah , kerana matahari dan bulan juga silih berganti , begitulah harapan akan terus ada dari sehari ke sehari.." syamiera

Disini aku kongsikan petikan dari buku La Tahzan - Susunan Tuan Hassan Tuan Lah
Profesor Hawks* menjadikan madah ini sebagai motto hidupnya:

Semua penyakit yang ada di bawah mentari pasti ada ubatnya, atau sama sekali tidak pernah ada.
Jika ada maka berusahalah untuk mendapatkannya, namun jika tidak , maka jangan difikirkan.


Dan hadis sahih yang membenarkan kenyataan di atas;

"Allah tidak menurunkan penyakit kecuali menurunkan ubatnya. Orang berilmu akan mengetahuinya, sedangkan orang jahil tidak." (HR Ahmad, no 3578 daripd Ibn Mas'ud)

Perkongsian petikan dari Buku La Tahzan - Susunan Tuan Hassan Tuan Lah.
                                    

Comments

Popular Posts